LOGO bentuk bilah kipas berlatar belakang warna kuning dan gambar api yang tertera pada belakang lori membawa muatan bahan kimia cecair memberi amaran kepada kita bahawa ia adalah bahan berbahaya.
Setiap kali ternampak objek ini, terlintas di fikiran kemungkinan berlaku letupan dahsyat sekiranya berlaku kesilapan teknikal atau kenderaan berkenaan terbabit dalam kemalangan.
Uranium Information Centre Limited (UIC), organisasi yang membekalkan panduan mengenai bahan radioaktif dalam rencananya menyebut, bahan radioaktif terbentuk melalui proses penguraian elemen-elemen kimia dari satu bentuk ke bentuk yang lain.
Contohnya kalium (K), dari K40 ke K39 (kedua-duanya adalah isotop). Walaupun radioaktif terdiri daripada isotop, tetapi bukan semua isotop adalah radioaktif kerana kebanyakannya adalah elemen biasa. Contohnya, K39 adalah mineral yang diperlukan badan sedangkan K40 pula adalah bahan radioaktif.
Ada empat jenis radiasi yang perlu diberi perhatian iaitu alfa, beta, gamma dan neutron. Setiap jenis radiasi memerlukan bentuk perlindungan yang tidak serupa kerana ia menunjukkan sifat dan kesan berbeza seperti berikut:
1. Radiasi alfa - Ia tidak dapat menembusi kulit dan mampu disekat dengan hanya menggunakan sehelai kertas, bagaimanapun, ia sangat sensitif dan mampu mengundang bahaya kepada paru-paru.
2. Radiasi beta - Radiasi ini dapat menembusi badan manusia tetapi tidak mampu menembusi lapisan kertas aluminium.
3. Radiasi gamma - Juga dapat menembusi badan manusia. Sinarannya yang lebih kuat memerlukan beberapa meter plumbum atau konkrit untuk menyekat penembusannya.
4. Radiasi neutron - Biasanya berlaku di dalam reaktor nuklear dan mampu menembusi plumbum dan konkrit.
Radiasi alfa, beta dan gamma pada kadar yang rendah secara semulajadinya adalah sebahagian daripada alam sekitar dan mungkin wujud dalam beberapa klasifikasi sisa.
Berdasarkan panduan UIC Limited, sisa radioaktif terdiri dari pelbagai jenis elemen yang memerlukan cara pengendalian dan pengurusan berbeza. Biasanya, sisa radioaktif diklasifikasi kepada tiga iaitu sisa tahap rendah (sisa dari hospital, makmal dan industri seperti industri tenaga nuklear) dan sisa tahap sederhana (mengandungi lumpur kimia, komponen reaktor dan resin).
Manakala sisa tahap tinggi pula terdiri daripada sisa bahan api yang telah digunakan dan elemen berat yang mempunyai tahap radioaktif yang tinggi. Jenis sisa ini bergantung kepada jumlah dan jenis bahan radioaktif yang terkandung di dalamnya.
Faktor lain yang perlu diberi perhatian untuk menguruskan sisa radioaktif adalah berdasarkan tempoh masa ia kekal sebagai bahan berbahaya sehingga menemui satu jangka waktu yang dipanggil separuh hayat.
Dalam tempoh berkenaan, bahan radioaktif akan mengurai sedikit demi sedikit untuk mengurangkan tahap bahaya sehingga keadaannya stabil dan tidak membahayakan; dan proses ini memakan masa dari beberapa saat ke berjuta-juta tahun tertakluk kepada jenis isotopnya.
Menurut John R. Cooper di dalam bukunya; Radioactive Releases in the Environment : Impact and Assessment, beberapa industri moden terutama yang membabitkan penghasilan tenaga dan perubatan, mempunyai potensi pembebasan sisa bahan radioaktif ke persekitaran yang sangat tinggi berbanding industri lain.
Keadaan ini mengambil kira faktor produk yang kebanyakannya perlu melalui proses radiasi selain sifat semula jadi bahan utama yang membahayakan. Kita terdedah kepada bahaya bahan radioaktif setiap hari namun kesannya yang tidak ketara pada tempoh permulaan tidak memberi peluang kepada pencegahan dan rawatan awal.
Mungkin kita tidak sedar ketika berdepan dan menggunakan produk berasaskan bahan yang dikategorikan sebagai radioaktif, malah kita juga mungkin tidak pernah tahu, bahan radioaktif ini digunakan sebagai salah satu bahan utama.
Ada banyak produk yang mengandungi bahan radioaktif seperti jangka suhu, bateri, minyak berplumbum, tali pinggang dan bahan kosmetik seperti krim muka.
Pendedahan kepada bahan radioaktif untuk tempoh yang panjang boleh memberi kesan maut terhadap pengguna. Begitu juga dengan sinar-X yang perlu kita jalani semasa membuat pemeriksaan kesihatan. Sinar-x adalah sinar gamma yang menunjukkan kesan lebih ketara berbanding sinaran lainnya.
Atas sebab itulah, pakar perubatan sering mencadangkan, ujian sinar-X hanya boleh dilakukan enam bulan sekali dan tidak dibenarkan sama sekali dijalankan ke atas wanita mengandung. Sinar-X mampu membunuh sel dalam badan terutama sel yang baru terbentuk dan keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan struktur bayi di dalam kandungan.
Begitupun, ada juga radioaktif yang digunakan sebagai bahan perubahan. Contohnya radium digunakan untuk merawat kanser yang pejal (radiasi radium secara kerap mampu memusnahkan tisu tumor dalam badan pesakit). Fungsi asasnya sebagai pemusnah sel digunakan untuk kebaikan dan kemajuan sejagat.
Malah, rencana keluaran Wikipedia, The Free Encyclopedia pernah mengisahkan kesengsaraan rakyat negara Jepun berdepan dengan pencemaran bahan radioaktif yang bermula pada 1950.
Toyama, sebuah bandar kecil di Pulau Honshu, di Chubu, menyimpan sejarah hitam apabila diserang sejenis penyakit ganjil akibat pencemaran kadmium dalam sistem perairan.
Kadmium yang sering digunakan sebagai bahan saduran dan bahan utama pembuatan bateri, adalah sisa sampingan toksik berpunca dari aktiviti perlombongan sebuah syarikat yang melombong perak, plumbum, zink dan kuprum untuk kegunaan industri.
Namun, sikap tidak bertanggungjawab Kamioka Mines, syarikat yang membekalkan bahan mentah berkenaan meninggalkan kesan amat menyedihkan kepada masyarakat desa ini.
Penyakit ‘Itai-Itai’, sejenis penyakit yang menyebabkan badan pesakit menjadi lemah akibat keracunan kadmium yang menyerang sendi dan tulang belakang selain membantutkan fungsi buah pinggang sebagai penapis bahan asing dan asid sebelum masuk ke dalam saluran darah.
Itai adalah perkataan Jepun yang bermaksud sakit, digunakan untuk menamakan penyakit ganjil ini kerana pesakitnya sering menyebut perkataan ini bagi menggambarkan kesengsaraan mereka.
Bukan itu saja, penyakit Minamata, sejenis sindrom neurologi yang disebabkan keracunan raksa turut menyebabkan simptom seperti ketidakstabilan pergerakan akibat kegagalan sistem serebelum otak untuk berfungsi dengan baik, gangguan deria rasa pada tangan dan kaki, pengurangan daya penglihatan dan pendengaran. Dalam kes teruk, ia boleh menyebabkan pesakit lumpuh dan maut.
Penyakit Minamata dikesan pada Mei 1956 di sebuah bandar yang terletak di pantai barat bahagian selatan Pulau Kyushu, Jepun. Bermula dari empat orang yang menunjukkan simptom Minamata yang berakhir dengan kematian. Simptom yang sama turut meragut nyawa tiga belas orang nelayan di pulau berkenaan.
Haiwan dan burung yang mempunyai habitat berhampiran kawasan berkenaan turut menerima nasib sama. Penyelidik dari Universiti Kumamoto mengunjungi daerah berkenaan untuk menyelidik dan mendapati penyakit ini berpunca daripada kandungan raksa yang tinggi dalam ikan.
Hal ini adalah tanggungjawab syarikat Chisso Corporation yang menghasilkan produk seperti ethanal dan plastik PVC (dan raksa digunakan sebagai pemangkin untuk membuat PVC).
Kajian menunjukkan, makanan laut seperti ikan dan kerang boleh mengumpulkan raksa dalam badan tanpa menjejaskan kehidupannya. Memburukkan keadaan, masyarakat di situ amat bergantung kepada hasil laut sebagai sumber makanan dan punca pendapatan.
Sisa bahan radioaktif perlu dirawat sebelum dibebaskan ke alam sekitar untuk banyak tujuan terutama menjaga kesihatan dan pengekalan sistem alam sekitar.
Ini termasuklah pengendalian di dalam makmal. Mengendalikan bahan radioaktif perlulah dilakukan dengan hati-hati dan cermat. Pastikan segala arahan dan panduan yang disediakan dipatuhi kerana sebarang keengkaran dan kecuaian akan membawa padah.
Panduan disediakan Occupational Safety and Health, University of Delaware menegaskan, bahan radioaktif yang ingin digunakan perlulah dikendalikan di kawasan yang ditetapkan selepas diluluskan Pegawai Keselamatan Radiasi.
Makmal juga perlu diklasifikasikan mengikut jenis dan tujuan bahan yang digunakan. Peralatan yang digunakan juga perlu di pantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran dan sebarang kerosakan yang mungkin berlaku.
Selain itu, pengendali bahan radioaktif perlu melengkapkan diri dengan peralatan tertentu seperti penghadang, sarung tangan dan peralatan amaran bagi mengelakkan kemungkinan radiasi.
Begitu juga dengan sisa radioaktif perlu dikumpulkan dalam bekas yang ditetapkan sebelum dihantar untuk menjalani rawatan sisa oleh badan yang telah mendapat pengiktirafan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan. Pastikan juga tangan dicuci bersih sebelum meninggalkan makmal bahan radioaktif. Bak kata pepatah, cegah sebelum parah.